Pengenalan
Dalam proses
menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap bagi mengisi
dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan negara, kurikulum
perlu dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan
supaya kurikulum ini sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang.
Pembangunan tenaga manusia dan tenaga rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad
kepada penyediaan dan pembekalan tenaga pekerja yang berketerampilan dalam
sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja.
Kurikulum bagi
abad ke-21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan pada masa
itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang
bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan oleh senario
yang dapat dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan
kurikulum abad ke-21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik
supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara
Malaysia. Warganegara Malaysia bagi abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran
yang akan dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara
berupaya merancang masa depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat
sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.
FOKUS /
PENEKANAN KURIKULUM
Untuk memenuhi
matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif,
kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan
diri yang kukuh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian
kurikulum semestinya lebih daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas
tetapi kepada penguasaan berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
•
kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
•
kemahiran berkomunikasi secara berkesan
•
kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
•
kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
•
kemahiran mencari, menginterpretasikan dan mengaplikasikan maklumat
•
kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
•
kemahiran kepimpinan dan pengurusan
PROSES
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran dan
pembelajaran merupakan aspek penting dalam pelaksanaan kurikulum. Menjelang
abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk
membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan
secara meluas. Ciri-ciri
pelajar untuk abad ke 21 ialah pelajar perlu memiliki beberapa aspek
tertentu. Di mana, pelajar abad ke 21 merupakan pelajar yang celik dari
segala-galanya tidak kira dalam teknologi maklumat mahupun akademik. Pelajar
abad ke 21 perlu memiliki aspek seperti :
- · Pelajar berupaya membuat hubung kait di antara subjek yang dipelajari dengan keadaan sekeliling.
- · Bijak menyoal guru ketika berada di dalam bilik darjah.
- · Yakin untuk berkomunikasi terutamanya kepada guru dan rakan-rakan di dalam bilik darjah.
- · Berani untuk mengambil risiko untuk belajar dan membuat kerja yang diberikan oleh guru dan juga berani mencuba.
- · Dahagakan ilmu pengetahuan dan sentiasa ingin untuk menimba ilmu.
- · Mempunyai perasaan ingin tahu.
- · Bijak dan kreatif menjana idea serta fleksibel.
- · Tidak pernah berputus asa.
- · Sentiasa mendengar dan membuat refleksi di dalam bilik darjah semasa sesi P&P dijalankan.
- · Berkemahiran kritis dan mampu untuk menguasai kemahiran literasi.
- · Mampu berfikir sendiri dan membuat inisiatif.
- · Pelajar abad ke 21 juga mampu untuk bekerja dengan orang lain dan berusaha untuk membuat perubahan.
- · Mempunyai keperibadian yang tinggi serta berintegriti di dalam mahupun di luar bilik darjah.
- · Di samping itu, para guru juga perlu beralih kepada beberapa aspek memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran untuk abad ke 21 amat mencabar. Guru-guru untuk abad ke 21 memerlukan beberapa ciri tertentu seperti berikut:
- · Guru perlu menguasai subjek iaitu penguasaan terhadap kandungan kurikulum.
- · Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
- · Memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi murid.
- · Memahami psikologi pembelajaran iaitu “Cognitive Psychology”.
- · Memiliki kemahiran kaunseling.
- · Menggunakan teknologi terkini tidak kira semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mahupun di luar sesi tersebut.
Sumber
pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan
teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer, multimedia, dan cakera
padat seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar.
Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21 dibentuk
sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan menggantikan guru dengan
penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan
pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada
pelajar.
(a) Teknologi
Maklumat/Komputer
Dalam konteks pendidikan,
teknologi maklumat merupakan peralatan teknologi komunikasi atau sistem
rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses,
menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat seperti internet
atau multimedia atau hypermedia untuk membantu proses pengajaran dan
pembelajaran. Perkembangan bidang teknologi maklumat telah dapat memudahkan
manusia berkomunikasi dalam mengurus, menyimpan dan menyebar maklumat dengan
lebih canggih sama ada dalam bentuk data teks, imej atau suara.
Pelajar dalam
abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat, untuk itu setiap
pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer berupaya meningkatkan mutu
pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi alat standard di semua
sekolah di peringkat rendah, menengah dan lepasan menengah.
(b) Pengajaran
dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
Proses
pengajaran dan pembelajaran dalam abad ke 21 masih tetap berpusatkan pelajar.
Malah ia perlu dipertingkatkan daripada apa yang diamalkan sekarang. Guru
memainkan peranan lebih penting kepada pelajar dengan melibatkan pelajar
sepenuhnya secara aktif dalam semua aktiviti sama ada di dalam atau di luar
darjah. Guru lebih-lebih lagi berperanan sebagai pemudah (fasilitator)
pembelajaran dan berperanan sebagai pembekal maklumat.
Pelbagai
aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang oleh guru bagi membina dan
mengukuhkan minat murid terhadap pembelajaran. Murid dibimbing supaya bersedia
menerima pengajaran dan berupaya untuk meneruskan pembelajarannya sendiri.
Pelajar ketika itu perlu dilatih untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan
meningkatkan rasa tanggungjawab.
Dalam rangka
pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, tenaga pengajar/guru di
sesebuah bilik darjah sekurangnya terdiri daripada seorang guru dan seorang
pembantu guru untuk membimbing pelajar yang tidak melebihi 25 orang pelajar.
Keadaan kelas dengan dua orang guru dengan sekelompok murid patut dijadikan
amalan bagi meningkat dan mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang
berpusatkan pelajar.
(c) Pendidikan
Jarak Jauh
Pendidikan Jarak
Jauh (PJJ) merupakan kesinambungan inovasi kreatif dalam pendidikan diri abad
ke 20 ke abad ke 21. Peluasan PJJ seharusnya sampai ke sekolah dari peringkat
rendah lagi tidak sahaja terhad di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan
Jarak Jauh dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira
faktor-faktor berikut:
• Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari
seminggu)
• Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer
• Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar
• Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu
• Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui struktur
modular
• Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi
objektif yang
jelas, alat ujian kendiri, aktiviti pembelajaran dan maklum balas
pelajar.
(d) Pendekatan
Modular
Pendekatan
secara modular berperingkat kesukaran bagi setiap tajuk disediakan dalam bentuk
bercetak dan/atau CD-ROM untuk satu-satu tahun pengajian. Modul ini disediakan
untuk semua mata pelajaran di semua peringkat persekolahan.
Pelajar boleh
beralih ke modul berikutnya apabila selesai menggunakan modul yang disediakan
tanpa menunggu arahan guru. Pendekatan modul ini telah diamalkan di institusi
pengajian tinggi tempatan. Apa yang perlu ialah menyesuaikannya mengikut tahap
kebolehan pelajar.
(e) Mastery
Learning
Pendekatan
pembelajaran berfokus kepada penguasaan pelajar terhadap sesuatu perkara yang
diajarkan kepada mereka. Penguasaan pelajar ditentukan melalui ujian
diagnostik. Tindakan susulan diberikan kepada mereka yang belum menguasai
supaya kelemahan mereka tidak terhimpun di akhir setiap pembelajaran.
(f) 'Tracking'
dan 'Banding'
Bergantung
kepada tahap penguasaan pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam beberapa
kumpulan sama ada kumpulan asas (basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan
maju (advance). Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu
'vertical' dan 'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut
kebolehan dalam mata pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh
mempelajari matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai kemahiran matematik
Tahun 2.
(g) Sistem
Kredit
Unit kredit
adalah nilai masa/tempoh dan tugasan yang diperlukan oleh pelajar untuk
menyiapkan kerja-kerja kursus yang telah ditetapkan bagi setiap kursus
pengajian. Kerja-kerja kursus ini termasuklah menghadiri kelas, membuat kerja
projek, tugasan, kerja-kerja makmal dan amali. Pelajar dibenarkan mengulang
mata pelajaran yang tidak mencapai asas yang ditetapkan.
PENILAIAN
Aspek penilaian
kemajuan pelajar adalah penting untuk menentukan tahap penguasaan, kemahiran
dan penghayatan. Maklumat tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk
untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan
perkaedahan penilaian mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan
dan keupayaan pelajar seperti berikut
a) Penilaian
Berasaskan Sekolah
b) Penilaian
Berterusan
c) Penilaian
Berasaskan Elemen Subjek
d) Penilaian
Proses di samping Penilaian Hasil
e) Authentic
Assessment
f) Penilaian
Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
g) Bench
Marking
h) Ujian/
Peperiksaan Secara Online
PENUTUP
Perlu ditegaskan
bahawa apa pun bentuk reformasi kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat
hasil yang diharapkan jika tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam
bidang-bidang lain, kerjasama di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan
dan mengambil perhatian yang berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan
hasrat penubuhan Sekolah Bestari, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada
pembangunan prasarana teknologi, penyediaan latihan semula guru, penyediaan
bahan kursus dan format penilaian, di samping penglibatan pihak swasta, ibu bapa
dan komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.